Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi,
budaya berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari
dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas
kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme,
vandalisme dan pornografi sering terpapar di dada akhbar dan kaca televisyen.
Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi
bahasa dalam kalangan masyarakat. Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa
kebejatan amalan mulia ini adalah disebabkan oleh pengaruh budaya kuning dari
negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Belanda dan United Kingdom yang
terkenal dengan sikap keterbukaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang
demokratik dan mengamalkan dasar buka pintu bagi menggalakkan pertumbuhan
ekonomi negara. Justeru, masyarakat kita tidak dapat lari dari pengaruh dunia
luar dan pengaruh budaya kuning dengan mudahnya dapat bersarang di kotak
fikiran masyarakat.
Budaya berbudi
bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana
seribu satu manfaat boleh diperolehi. Salah satu kepentingan amalan ini adalah
dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat
yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa jua warna kulit,
taraf dan umur individu tersebut. Apabila wujud sikap saling menghormati,
masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun
hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada
itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei
1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 iaitu pada
tahun 2008 yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan jelas menunjukkan
pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman
bangsa. Pepatah ada mengatakan bersatu teguh, bercerai roboh. Justeru, apabila
masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar
tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan mudah.
Meninjau dari
skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang
lebih bertamadun. Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan
masyarakat yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur
selain pencapaian lahiriah. Oleh itu, masyarakat pada masa tersebut dapat
membina empayar dan kerajaan yang kuat dan hebat seperti ketika tamadun
Mesopotamia.
Tamadun Mesir
Purba, tamadun Indus dan tamadun Hwang He walaupun pada masa itu teknologi
masih belum berkembang dengan sepenuhnya. Namun begitu, scenario hari ini yang
menyaksikan masyarakat yang biadap dan kasar sikapnya seperti mengeluarkan
kata-kata kesat amatlah memilukan hati bagai duri dalam daging. Hal ini
seolah-olah masyarakat kita masih hidup dalam Zaman Jahiliah yang mana akhlak
dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut adalah sangat rendah. Perkara
seumpama itu tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat kkit lagi memandangkan
negara kita telah lima dekad mencapai kemerdekaan. Untuk mendapatkan
kemerdekaan bukanlah suatu perkara yang mudah tetapo untuk mempertahankan dan
mengekalkan kemerdekaan merupakan perkara yang lebih sukar untuk dilakukan.
Justeru, negara amat memerlukan masyarakat yang berfikiran matang dan bijak
untuk mengelakkan penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing.
Dari kaca mata
yang lain, industri pelancongan juga turut meningkat. Masyarakat yang berbudi
bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif seperti memberi layanan yang
sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing. Hal ini penting agar
dapat meninggalkan imej yang positif terhadap negara kita dalam diri pelancong.
Pelancong juga akan mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana beranggapan
bahawa kedatangan mereka adaalah dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat
tempatan. Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen,
pemandu pelancong dan pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan pereanan
yang lebih penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan
nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia
dijadikan teladan kerana masyarakatnya sememangnya kaya dengan budi bahasa.
Contohnya, ucapan irasshaimase yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun
pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak kira apa-apa kedai yang
dikunjungi. Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam
masyarakat Jepun. Justeru, budaya murni ini perlulah diserapkan dalam jiwa dan
raga setiap individu terutamanya golongan yang berurusan dengan pelancong asing
agar merekadapat menikmati percutian yang menyeronokkan di negara kita.
Di samping
itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dilahirkan. Pemimpin yang baik akan
dapat mmentadbir negara dengan lancer kerana mendapat sokongan padu daripada
rakyat. Dalam pada itu, golongan remaja merupakan asset yang sangat bernilai
kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk
kepimpinan negara. Oleh itu, budi bahasa perlulah dijadikan panduan kepada
kehidupan mereka supaya mereka dapat menjauhkan diri daripada kancah gejala
social serta dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Pemimpin yang
berbudi bahasa juga dapat meningkatkan imej negara kerana pemimpin dari negara
lain akan kagum dan nmenghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik
bagi menjamin kemajuan dan keselamatan nbegara dapat dijalainkan dengan mudah.
Dengan itu, negara kita akan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara-negara lain. Selain itu, negara kita akan terkenal di persada
dunia kerana sifat budi bahasa kita dan ini akan menjadi kebanggaan masyarakat
kita.
Individu yang
berbudi bahasa juga akan memperolehi pelbagai kemaslahatan, antaranya mudah
didampingi oleh orang lain,. Hal ini kerana individu yang berbudi bahasa
sentiasa lemah lembut dan bersopan santun dalam pertuturan dan perlakuan.
Mereka juga tidak akan mengeluarkan kata-kata yang kesat atau kata-kata yang
menyakitkan hati. Justeru, mereka tida akan menyinggung perasaan orang lain.
Sebaliknya, mereka akan dihormati dan disenangi oleh orang lain. Hal ini akan
turut menjaga nama baik dan maruah individu tersebut dan keluargannya kerana
sifat-sifatnya yang mulia itu. Konklusinya, budaya berbudi bahasa perlulah
digarapkan oleh ibubapa dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi bagai
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, hasrat negara untuk
melahirkan masyarkat yang berbudi bahasa menjelang tahun 2020 akan dapat direalisasikan.
Natijah,
sifat-sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggaan
masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan
semula. Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan
yang negara kita akan mudah dikalahkan jika kita mempunyai infrastruktur kelas
pertama tetapi mentali kelas ketiga. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa
pembangunan nilai dan budaya yang betul amat mustahak untuk negara mencapai
cita-citanya yakni untuk mencapai taraf negara maju yang duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan negar-negara gergasi lain di dunia. Dalam pada itu,
semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap
bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dalam menanam amalan
berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai
Murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan
kesedaran rakyat. Kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk
seperti gengsterisme, dan bercakap kesat sudah lupus dari memori setiap rakyat
Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
meowww
ReplyDelete