Sunday 24 July 2016

KONSEP KESANTUNAN BAHASA

KONSEP KESANTUNAN BERBAHASA 
  • Cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang dengan penuh sopan 
  • Timbang rasa yang kita berikan kepada orang yang mendengar pertuturan kita. 
  • Contoh: Bahasa yang digunakan untuk menolak permintaan seseorang tanpa mengecilkan hatinya. 
  • Cara sapaan lisan atau bertulis menurut bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadap atau tidak berbudi bahasa. 
  • Kehalusan budi bahasa dalam memakai atau menggunakan bahasa atau kesopanan ketika menggunakan bahasa. 
  • Dalam kesantunan berbahasa, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri. 
  • Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama. 
  • Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan. 
  • Kesantunan berbahasa merangkumi pemilihan kata, nada, gerak laku serta gaya dan ragam. 
  • Pemilihan kata mesti sesuai dengan situasi, topik perbincangan dan hubungan antara penutur dengan pendengar. 
  • Nada mestilah rendah dan lembut. 
  • Gerak laku haruslah lemah lembut 
  • Gaya dan ragam mestilah tidak mengejek, menyindir, perli atau menempelak. 
  • Kesantunan berbahasa juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya ialah laras bahasa istana. Antara ungkapan berkenaan ialah patik, tuanku, berangkat, bersiram, bersemayam, junjung kasih, bercemar duli, dan sebagainya. 
  • Kata dan ungkapan bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa. Pemilihan kata dan ungkapan cuma bergantung kepada kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan.


Fungsi budaya kesantunan dalam sistem panggilan orang Melayu:
            Konsep kesantunan berbahasa bagi orang Melayu tidak dapat dipisahkan dengan nilai-nilai Islam kerana ajaran Islam telah menjadi suatu cara hidup yang merangkumi semua tatacara dalam kehidupan orang Melayu termasuklah berbahasa. Nilai-nilai Islam menjadi pengukur dan penentu terhadap kesantunan orang Melayu. Jelasnya, konsep kesantunan orang Melayu ialah perlakuan berbahasa dan bukan berbahasa yang dilakukan atas keikhlasan kerana Allah Taala. Jadi, konsep kesantunan orang Melayu melibatkan hubungan tiga penjuru iaitu melibatkan penjagaan hubungan antara manusia dengan Tuhan (hablun minallah) serta memberatkan hubungan antara manusia (penutur) dengan manusia (hablun min al-nas) iaitu pendengar.
            Kesantunan berbahasa telah berdarah daging dan menjadi lambang jati diri bangsa Melayu sejak zaman berzaman. Pendek kata, orang Melayu sudah sekian lama disinonimkan dengan kesantunan dalam berbahasa dan perlakuan. Jadi demi kelangsungan jati diri bangsa Melayu yang unggul dan gemilang, semestinya setiap lapisan masyarakat terus menyemarakkan penggunaan bahasa yang santun dalam kehidupan seharian. Seperti yang kita semua maklum, nilai murni dalam budi bahasa memberikan kekuatan sosial dan moral serta membentuk budaya tinggi sesebuah masyarakat. Bangsa yang maju mengamalkan bahasa budaya tinggi yang dituturkan dengan cara yang halus, menarik, berkesan, bersopan santun, mempunyai nilai estetik, intelektual dan nilai budaya yang mencerminkan tamadun dan kesusilaan bangsa yang berperibadi tinggi.
            Dalam konteks sistem panggilan dalam keluarga masyarakat Melayu, aspek kesantunan merupakan antara perkara yang mesti ada kerana masyarakat Melayu terkenal dengan budi bahasa yang sopan dan lemah lembut. Segala nasihat, teguran atau larangan sering kali tidak dilakukan secara langsung. Sebaliknya bahasa berlapik digunakan agar orang yang menjadi sasaran tidak tersinggung dan diaibkan di hadapan khalayak.
            Sebenarnya, semua orang sedar dan tahu tentang peri pentingnya berbahasa dengan santun terutamanya dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia ini, namun akhir-akhir ini faktor globalisasi yang melanda telah mengubah nilai dan pandangan hidup sehingga amalan berbudi bahasa ini semakin terhakis dalam masyarakat. Kita tidak boleh membenarkan bangsa kita hilang kesopanannya, termasuk dalam penggunaan bahasa. Setiap lapisan masyarakat perlu memastikan aspek penting dalam ketamadunan bangsa dan hubungan sesama manusia tidak terhakis semata-mata kerana kita mahu dilihat moden,maju dan canggih.
            Jadi, amatlah wajar seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa menguasai segala santun dan peraturan dalam bahasa Melayu seperti gelaran kekeluargaan, gelaran pergaulan, kata-kata alu-aluan, dan kata silaan supaya budaya beradab dalam masyarakat dapat dikekalkan. Budi bahasa dan ketatasusilaan semasa kita berwacana atau berbahasa akan menjadi titik penentu lambang dan dan citra diri serta sahsiah kita yang sebenarnya. Oleh itu, kepentingan kesantunan dan ketatasusilaan semasa berkomunikasi bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh. 

Amalan dan penerapan budi bahasa sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan atau dalam perlakuan dan pergaulan dapat dipraktikkan dalam beberapa institusi, antaranya : 
  • Antara ibu bapa dan anak-anak

Pada asasnya, ibu bapa atau keluarga merupakan orang pertama yang perlu menerapkan nilai berbudi bahasa sama ada secara formal atau tidak formal kepada anak-anak. Ibu bapa wajar mendidik, membimbing dan menegur anak-anak supaya bertutur dengan baik, betul, bersopan, terpuji dan saling menghormati. Hal ini demikian kerana, telah terbukti anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan kesantunan dalam berbahasa biasanya akan menjadi individu yang bersopan serta berbudi bahasa. Begitulah peri pentingnya gelanggang yang kecil di rumah dalam membentuk keperibadian yang unggul.
Bagi memupuk rasa hormat menghormati kepada ibu bapa, kata panggilan “mak”, “mama”, “ayah”, dan “abah” digunakan. Namun begitu sejak akhir-akhir ini kata panggilan “ummi”, dan “abi” telah diambil dari bahasa Arab dan panggilan “mummy” dan “daddy” pula diambil daripada bahasa Inggeris dan kata panggilan tersebut telah diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu. Begitu juga rasa hormat kepada datuk atau nenek kata panggilan “atuk”. “nenek”, “tok ayah”, dan “tok wan” digunakan. Tutur kata anak-anak kepada ibu bapa hendaklah sopan, lembut dan penuh hormat dalam apa jua keadaan. Anak-anak tidak boleh sekali-kali beraku atau berengkau dengan ibu bapa atau memanggil dengan nama mereka. Tanggungjawab memastikan anak-anak menggunakan bahasa yang santun terpikul di atas bahu ibu bapa kerana ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak. Pemupukan, penghayatan dan penggunaan bahasa yang sopan dalam masyarakat hendaklah sentiasa ditekankan kerana amalan ini menggambarkan budaya Melayu yang tinggi. 
  • Antara adik beradik

Hubungan adik beradik disusun oleh urutan kelahiran iaitu dari anak yang sulung kepada yang tengah dan yang bongsu. Yang muda mesti menghormati yang tua, adik mesti menghormati kakak dan abang dengan memanggil secara baik seperti yang biasa dalam masyarakat. Contoh gelaran seperti “abang long”, “kak long”, “abang ngah”, “kak ngah”, “abang cik” , “kak cik” dan “adik” untuk orang yang lebih muda.Setiap pertuturan, pergaulan dan kelakuan antara adik beradik perlulah sopan dan saling menghormati. Selain itu, apabila berinteraksi dengan orang yang lebih tua mestilah menggunakan nada suara yang lembut dan kelakuan yang sopan. Tidak digalakkan orang yang lebih muda berjenaka sesuka hati, memerli atau menyampuk percakapan orang tua walau dalam keadaan biasa. Namun begitu, masyarakat yang lebih muda tetap diberi peluang untuk memberi pandangan atau meluahkan perasaan tetapi tetap dalam keadaan sopan dan berhemah. 
  • Penggunaan Kata Ganti Nama

Kesantunan berbahasa dalam sistem panggilan dalam keluarga masyarakat Melayu boleh dimanipulasikan melalui beberapa bentuk dan penggunaan bahasa. Penggunaan kata ganti nama merupakan salah satu aspek penting dalam kesantunan berbahasa bahasa Melayu. Kata ganti nama merupakan antara bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang untuk memanggil orang yang mendengar atau diajak bercakap. Menurut Teo Kok Seong, masyarakat Melayu menganggap kata ganti nama “aku”, “awak”, “kamu” dan “engkau” sebagai bentuk kasar jika digunakan dalam percakapan atau interaksi dengan pihak yang lebih tua, berstatus dan berkuasa oleh pihak yang bercakap yang lebih muda, kurang berstatus dan kurang berkuasa. Walau bagaimanapun kempat-empat kata ganti nama berkenaan boleh digunakan secara sopan semasa bercakap atau berinteraksi, antaranyaahli keluarga mereka yang sudahpun akrab, atau situasi umur mereka setara. 
  • Perlakuan Bahasa Bukan Verbal

Dalam interaksi keluarga dalam masyarakat Melayu, interaksi tidak selalu bergantung kepada pemilihan perkataan dan struktur ayat. Penekanan utama dalam konteks kesantunan berbahasa, dalam penggunaan bahasa yang sesuai dalam bahasa Melayu ialah cara perkataan atau frasa diucapkan dan sering kali disertai oleh gerak badan yang melibatkan air muka, isyarat tangan serta gaya dan kedudukan badan pihak yang bercakap. Anak-anak Melayu sentiasa diajar menggunakan tangan kanan untuk memegang makanan dan apabila memberi dan menerima sesuatu. Penggunaan tangan kiri hendaklah dielakkan. Memberi dan menerima sesuatu daripada seseorang dengan menggunakan tangan kiri ialah perbuatan yang tidak sopan dan tidak selari dengan ajaran Islam.

Jika seseorang itu terpaksa menuding kepada sesuatu semasa bercakap atau berinteraksi terutamanya dengan pihak yang lebih tua atau yang dihormati dengan tujuan untuk menunjukkan seseorang atau arah, jari telunjuk tidak boleh digunakan. Lebih sopan jika ibu jari kanan digunakan. Dalam masyaakat Melayu, menuding dengan jari telunjuk dalam situasi tertentu boleh dianggap sebagai perbuatan meninggikan diri, yakni dalam pengertian mengarah atau memerintah pihak yang mendengar. Aapabila seseorang itu harus lalu di hadapan pihak yang lebih tua, yang lebih tinggi tarafnya atau pihak yang lebih dihormati seseorang itu hendaklah meminta izin terlebih dahulu dengan melafazkan ungkapan “minta lalu” atau “tumpang lalu”. Ucapan meminta izin ini boleh digantikan dengan perlakuan bukan verbal, antaranya menundukkan kepala dan membongkokkan badan sedikit ketika lalu sambil meluruskan tangan kanan ke bawah. Perbuatan ini dianggap sopan dalam masyarakat 

No comments:

Post a Comment